2 Samuel 7:23-29 BMDC

23 Di seluruh muka bumi ini, tiada bangsa lain seperti Israel, yang telah Engkau selamatkan daripada perhambaan, serta menjadikan mereka umat-Mu sendiri. Perbuatan besar dan ajaib itu, yang telah Engkau lakukan bagi mereka, sudah memasyhurkan nama-Mu di seluruh dunia. Engkau mengusir bangsa-bangsa lain dan dewa-dewa mereka apabila umat-Mu maju bertempur, umat yang Engkau selamatkan dari Mesir untuk menjadi umat-Mu sendiri.

24 Engkau telah menjadikan Israel umat-Mu selama-lamanya. Engkau, ya TUHAN, sudah menjadi Allah mereka.

25 Sekarang, ya TUHAN Allah, tepatilah janji yang Engkau ucapkan tentang diriku dan keturunanku, untuk sepanjang masa. Laksanakanlah apa yang sudah Engkau janjikan itu.

26 Nama-Mu akan termasyhur dan untuk selama-lamanya orang akan berkata, ‘TUHAN Yang Maha Kuasa ialah Allah umat Israel!’ Oleh itu, Engkau akan memastikan supaya seorang daripada keturunanku akan memerintah sebagai raja bangsa ini untuk sepanjang masa.

27 Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah umat Israel! Aku berani berdoa demikian kerana Engkau sudah menyatakan perkara ini kepadaku, hamba-Mu. Engkau telah memberitahu aku bahawa anak cucuku turun-temurun akan Engkau jadikan raja bangsa ini.

28 Oleh itu, ya TUHAN Raja, Engkaulah Allah! Engkau sentiasa menepati janji-Mu, dan Engkau sudah menjanjikan perkara yang indah untukku.

29 Aku mohon, sudilah memberkati keturunanku supaya mereka tetap merasakan kasih-Mu selama-lamanya. Ya TUHAN Raja, semua ini telah Engkau janjikan, maka keturunanku akan tetap Engkau berkati selama-lamanya.”