3 Natan menjawab, “Lakukanlah apa saja kehendak tuanku, kerana TUHAN menolong tuanku.”
4 Tetapi malam itu TUHAN berfirman kepada Natan,
5 “Pergilah beritahu hamba-Ku Daud, firman-Ku ini, ‘Bukan engkau yang akan membina rumah bagi-Ku.
6 Sejak Aku menyelamatkan umat Israel dari Mesir sehingga kini, belum pernah Aku tinggal di dalam sebuah rumah. Aku mengembara dan tinggal di dalam khemah.
7 Selama perjalanan-Ku dengan umat Israel, belum pernah Aku bertanya kepada sesiapa pun pemimpin yang Aku pilih, apa sebabnya mereka tidak membina rumah daripada kayu sedar untuk Aku.’
8 Oleh itu beritahulah hamba-Ku Raja Daud bahawa inilah firman-Ku, TUHAN Yang Maha Kuasa, kepadanya, ‘Aku sudah mengambil engkau daripada menjaga domba di padang dan Aku telah menjadikan engkau pemimpin umat-Ku Israel.
9 Aku telah menyertai engkau ke mana saja engkau pergi, dan Aku telah mengalahkan musuhmu ketika engkau bertempur. Sekarang Aku akan menjadikan engkau termasyhur seperti pemimpin-pemimpin terkemuka di dunia.