5 “Pergilah beritahu hamba-Ku Daud, firman-Ku ini, ‘Bukan engkau yang akan membina rumah bagi-Ku.
6 Sejak Aku menyelamatkan umat Israel dari Mesir sehingga kini, belum pernah Aku tinggal di dalam sebuah rumah. Aku mengembara dan tinggal di dalam khemah.
7 Selama perjalanan-Ku dengan umat Israel, belum pernah Aku bertanya kepada sesiapa pun pemimpin yang Aku pilih, apa sebabnya mereka tidak membina rumah daripada kayu sedar untuk Aku.’
8 Oleh itu beritahulah hamba-Ku Raja Daud bahawa inilah firman-Ku, TUHAN Yang Maha Kuasa, kepadanya, ‘Aku sudah mengambil engkau daripada menjaga domba di padang dan Aku telah menjadikan engkau pemimpin umat-Ku Israel.
9 Aku telah menyertai engkau ke mana saja engkau pergi, dan Aku telah mengalahkan musuhmu ketika engkau bertempur. Sekarang Aku akan menjadikan engkau termasyhur seperti pemimpin-pemimpin terkemuka di dunia.
10-11 Aku telah memilih satu negeri bagi umat-Ku Israel, dan Aku telah menempatkan mereka di sana. Mereka tidak akan ditindas lagi oleh sesiapa pun. Sejak mereka menduduki negeri itu mereka telah diserang oleh orang kejam, tetapi mulai sekarang hal itu tidak akan berulang lagi. Aku berjanji akan melindungi engkau daripada musuhmu dan memberi engkau keturunan.
12 Jika sampai akhir hayatmu, dan engkau dikebumikan di kubur nenek moyangmu, seorang daripada puteramu akan Kulantik menjadi raja, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya.