1 Beberapa waktu kemudian, Raja Daud menyerang orang Filistin lagi. Baginda mengalahkan mereka dan merebut tanah mereka.
2 Kemudian Raja Daud mengalahkan orang Moab. Baginda menyuruh orang tawanannya berbaring di atas tanah, lalu baginda membunuh dua orang daripada tiap-tiap tiga orang. Oleh itu orang Moab takluk kepada Raja Daud dan membayar ufti kepadanya.
3 Selepas itu Raja Daud mengalahkan Hadadezer anak Rehob, raja di Zoba di negeri Siria. Pada masa itu Hadadezer sedang dalam perjalanan pulang untuk memulihkan kekuasaannya di wilayah hulu Sungai Efrat.
4 Raja Daud menawan sebanyak 1,700 orang askar berkuda dan 20,000 orang askar yang berjalan kaki. Dia melumpuhkan semua kuda, kecuali sebilangan yang cukup untuk menarik seratus buah kereta kuda.
5 Apabila orang Siria dari Damsyik mengirim tentera untuk menolong Raja Hadadezer, Raja Daud menyerang tentera itu dan membunuh 22,000 orang.
6 Kemudian Raja Daud mendirikan perkhemahan tentera di dalam wilayah mereka, lalu mereka takluk dan membayar ufti kepada baginda. TUHAN memberi Raja Daud kemenangan di mana sahaja baginda berperang.