6 Kemudian Raja Daud mendirikan perkhemahan tentera di dalam wilayah mereka, lalu mereka takluk dan membayar ufti kepada baginda. TUHAN memberi Raja Daud kemenangan di mana sahaja baginda berperang.
7 Raja Daud merampas perisai-perisai emas yang digunakan oleh para pegawai Raja Hadadezer, lalu membawa semuanya ke Yerusalem.
8 Raja Daud juga merampas banyak gangsa dari Betah dan Berotai, kota-kota yang dahulu dikuasai oleh Raja Hadadezer.
9 Raja Tou dari negeri Hamat mendengar bahawa Raja Daud telah mengalahkan seluruh tentera Raja Hadadezer.
10 Oleh itu Raja Tou mengutus puteranya Yoram untuk memberikan salam kepada Raja Daud dan mengucapkan tahniah bagi kemenangannya terhadap Raja Hadadezer, kerana Raja Tou telah sering berperang dengan Raja Hadadezer. Yoram datang kepada Raja Daud dengan membawa banyak hadiah daripada emas, perak, dan gangsa.
11 Raja Daud mempersembahkan semua hadiah itu kepada TUHAN untuk digunakan dalam upacara ibadat. Demikian juga dilakukannya dengan perak dan emas yang dirampasnya dari negeri-negeri yang telah dikalahkannya,
12 iaitu Edom, Moab, Amon, Filistin, dan negeri orang Amalek. Raja Daud juga mempersembahkan sebahagian daripada barang-barang yang dirampasnya daripada Raja Hadadezer.