5 Lot, yang mengikut Abram, juga mempunyai keluarga sendiri dan hamba, domba, kambing, serta lembu.
6 Padang rumput di situ tidak cukup bagi mereka tinggal bersama-sama, kerana mereka mempunyai ternakan yang sangat banyak.
7 Oleh sebab itu pertengkaran berlaku antara para gembala Abram dan para gembala Lot. (Pada masa itu orang Kanaan dan orang Feris masih tinggal di tanah itu.)
8 Kemudian Abram berkata kepada Lot, “Kita ini bersaudara; orangmu dan orangku tidak sepatutnya bertengkar.
9 Oleh itu sebaiknya kita berpisah. Pilihlah bahagian tanah yang kamu suka. Jika kamu pergi ke sebelah sini, aku akan pergi ke sebelah sana.”
10 Lot memandang di sekelilingnya dan nampak bahawa seluruh Lembah Yordan, sampai ke kota Zoar mempunyai banyak air, seperti Taman TUHAN atau seperti tanah Mesir. (Begitulah keadaannya sebelum TUHAN memusnahkan kota Sodom dan Gomora.)
11 Akhirnya Lot memilih seluruh Lembah Yordan, lalu berangkat ke sebelah timur. Demikianlah kedua-dua orang itu berpisah.