1 Abraham berkahwin lagi dengan seorang perempuan yang bernama Ketura.
2 Isterinya itu melahirkan Zimran, Yoksan, Medan, Midian, Ishbak, dan Suah.
3 Yoksan ialah bapa Syeba dan Dedan. Keturunan Dedan ialah orang Asyur, orang Letus, dan orang Leum.
4 Anak Midian ialah Efa, Efer, Henokh, Abida, dan Eldaa. Mereka semuanya keturunan Ketura.
5 Walaupun Abraham mewariskan segala harta bendanya kepada Ishak,
6 semasa Abraham masih hidup, dia memberikan hadiah kepada anak-anak yang dilahirkan oleh isteri-isterinya yang lain. Kemudian dia menyuruh anak-anaknya itu pindah ke daerah di sebelah timur Kanaan, jauh daripada Ishak, anaknya.
7-8 Abraham meninggal ketika umurnya sudah lanjut, iaitu 175 tahun.
9 Anak-anaknya Ishak dan Ismael mengebumikan dia di dalam Gua Makhpela yang terletak di tanah sebelah timur Mamre. Dahulu tanah itu milik Efron anak Zohar, orang Het,
10 tetapi sudah dibeli oleh Abraham daripada orang Het itu. Sara, isteri Abraham, juga dikebumikan di sana.
11 Selepas Abraham meninggal, Allah memberkati Ishak, anak Abraham, yang tinggal berhampiran dengan perigi yang disebut “Perigi Dia Yang Hidup Yang Melihat Aku.”
12 Ismael ialah anak Abraham dan Hagar, perempuan Mesir, hamba Sara.
13 Berikut ialah nama anak-anak Ismael menurut urutan kelahiran mereka: Nebayot, Kedar, Adbeel, Mibsam,
14 Misyma, Duma, Masa,
15 Hadad, Tema, Yetur, Nafis, dan Kedma.
16 Mereka menjadi nenek moyang dua belas suku; pekan dan perkhemahan mereka disebut menurut nama mereka.
17 Ismael berumur 137 tahun ketika dia meninggal.
18 Keturunan Ismael tinggal di kawasan di antara Hawila dan Syur, di sebelah timur Mesir ke arah Asyur. Mereka hidup terpisah daripada keturunan Abraham yang lain.
19 Inilah kisah Ishak, anak Abraham.
20 Ishak berumur empat puluh tahun ketika dia berkahwin dengan Ribka anak Betuel, adik Laban, seorang Aram dari Mesopotamia.
21 Oleh sebab Ribka tidak mempunyai anak, Ishak berdoa kepada TUHAN untuk isterinya. TUHAN mengabulkan doanya sehingga Ribka mengandung.
22 Ribka mengandung anak kembar. Sebelum anak-anak itu lahir, mereka bergelut di dalam rahim. Ribka berkata, “Mengapakah perkara seperti ini harus berlaku kepadaku?” Oleh itu dia memohon petunjuk daripada TUHAN.
23 TUHAN berfirman kepadanya,“Dua bangsa berada di dalam kandunganmu.Engkau akan melahirkan dua bangsa yang bermusuhan.Yang seorang lebih kuat daripada yang lain;yang sulung akan melayani yang bongsu.”
24 Masanya tiba bagi Ribka untuk bersalin, lalu dia melahirkan anak lelaki kembar.
25 Anak yang sulung kemerah-merahan dan kulitnya seperti jubah yang berbulu, maka anak itu dinamakannya Esau.
26 Apabila anak yang kedua dilahirkan, tangannya memegang tumit Esau, maka anak itu dinamakannya Yakub. Ishak berumur enam puluh tahun ketika anak-anak itu dilahirkan.
27 Kedua-dua orang anak itu membesar; Esau menjadi seorang pemburu yang mahir dan suka tinggal di padang, tetapi Yakub bersifat tenang dan suka tinggal di khemah.
28 Ishak lebih sayang kepada Esau kerana dia suka makan daging binatang buruan, tetapi Ribka lebih sayang kepada Yakub.
29 Pada suatu hari ketika Yakub sedang memasak bubur kacang merah, Esau pulang dari berburu. Esau berasa lapar,
30 lalu berkata kepada Yakub, “Aku kelaparan; berilah aku sedikit kacang merah itu.” (Itulah sebabnya dia disebut Edom.)
31 Yakub menjawab, “Aku akan memberikan kacang merah itu kepadamu, jika engkau menyerahkan hakmu sebagai anak sulung kepadaku.”
32 Esau berkata, “Peduli apa hak itu bagiku. Aku lapar setengah mati!”
33 Yakub menjawab, “Bersumpahlah dahulu bahawa kamu akan menyerahkan hakmu kepadaku.”Esau bersumpah dan menyerahkan haknya kepada Yakub.
34 Kemudian Yakub memberikan roti dan sebahagian bubur kacang merah itu kepadanya. Esau makan dan minum, lalu pergi. Demikianlah Esau tidak menghargai haknya sebagai anak sulung.