1 Yakub mengemaskan segala kepunyaannya lalu berangkat. Apabila dia sampai di Bersyeba dia mempersembahkan korban kepada Allah yang disembah oleh Ishak, bapanya.
2 Pada waktu malam, dalam suatu penglihatan, Allah berfirman kepadanya, “Yakub, Yakub!”“Ya, aku mendengar,” jawabnya.
3 Allah berfirman, “Aku Allah, Allah yang disembah bapamu. Jangan takut pergi ke Mesir. Aku akan menjadikan keturunanmu bangsa yang besar di sana.
4 Aku akan menyertai engkau ke Mesir, dan membawa keturunanmu kembali ke negeri ini. Yusuf akan berada di sampingmu apabila engkau meninggal.”
5 Kemudian Yakub berangkat dari Bersyeba. Anak-anak lelakinya menaikkan bapa serta anak isteri mereka ke atas pedati-pedati yang dikirimkan oleh raja Mesir.
6 Mereka juga membawa ternakan dan segala harta benda yang diperoleh mereka di Kanaan, lalu berangkat ke Mesir. Yakub membawa semua keturunannya, iaitu
7 semua anak cucunya, lelaki dan perempuan.
8 Inilah anggota keluarga Yakub yang pergi bersama dengan dia ke Mesir:
9 Ruben, anak lelaki yang sulung dan anak-anak lelakinya: Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi.
10 Simeon dan anak-anak lelakinya: Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan juga Syaul, anak lelaki daripada seorang perempuan Kanaan.
11 Lewi dan anak-anak lelakinya: Gerson, Kehat, dan Merari.
12 Yehuda dan anak-anak lelakinya: Syela, Peres, dan Zerah, tetapi anak lelaki Yehuda yang lain, Er dan Onan sudah meninggal di Kanaan. Anak-anak lelaki Peres ialah Hezron dan Hamul.
13 Isakhar dan anak-anak lelakinya: Tola, Pua, Yasyub, dan Simron.
14 Zebulon dan anak-anak lelakinya: Sered, Elon, dan Yahleel.
15 Mereka semua ialah anak yang dilahirkan oleh Lea bagi Yakub di Mesopotamia, selain anak perempuannya, Dina. Semua keturunan Yakub daripada isterinya Lea berjumlah tiga puluh tiga orang.
16 Gad dan anak-anak lelakinya: Zifyon, Hagi, Syuni, Ezbon, Eri, Arodi, dan Areli.
17 Asyer dan anak-anak lelakinya: Yimna, Yiswa, Yiswi, Beria, dan Serah, saudara perempuan mereka. Anak-anak lelaki Beria ialah Heber dan Malkiel.
18 Enam belas orang itu ialah keturunan Yakub dan Zilpa, hamba perempuan yang diberikan Laban kepada Lea, anak perempuannya.
19 Rahel, isteri Yakub mempunyai dua orang anak lelaki, Yusuf dan Benyamin.
20 Di Mesir Yusuf dan isterinya Asnat, mempunyai dua orang anak lelaki, Manasye dan Efraim. Bapa Asnat ialah Potifera, imam di Heliopolis.
21 Benyamin dan anak-anak lelakinya: Bela, Bekher, Asybel, Gera, Naaman, Ehi, Ros, Mupim, Hupim, dan Ared.
22 Empat belas orang itu keturunan Yakub dan isterinya Rahel.
23 Dan serta anak lelakinya Husyim.
24 Naftali dan anak-anak lelakinya: Yahzeel, Guni, Yezer, dan Syilem.
25 Tujuh orang itu ialah keturunan Yakub daripada Bilha, hamba perempuan yang diberikan oleh Laban kepada Rahel, anak perempuannya.
26 Keturunan Yakub yang pergi ke Mesir semuanya berjumlah enam puluh enam orang, tidak termasuk menantu perempuannya.
27 Dua orang anak lelaki Yusuf yang dilahirkan di Mesir menjadikan jumlah bilangan keluarga Yakub yang berada di Mesir sebanyak tujuh puluh orang.
28 Yakub menyuruh Yehuda pergi lebih dahulu untuk memanggil Yusuf supaya menemui mereka di Gosyen. Apabila mereka sampai di Gosyen,
29 Yusuf menaiki kereta kudanya untuk berjumpa dengan bapanya di situ. Ketika mereka berjumpa, Yusuf memeluk bapanya dan menangis lama sekali.
30 Yakub berkata kepada Yusuf, “Sekarang aku rela mati setelah melihat engkau dan tahu bahawa engkau masih hidup.”
31 Oleh itu Yusuf berkata kepada saudara-saudaranya dan sanak saudaranya yang lain, “Aku harus pergi dan memberitahu raja bahawa saudara-saudaraku dan semua sanak saudaraku yang tinggal di Kanaan sudah datang.
32 Aku akan katakan bahawa kamu gembala domba dan lembu, dan sudah membawa ternakan serta segala kepunyaan kamu.
33 Jika raja memanggil kamu dan bertanya tentang kerja kamu,
34 katakanlah kepada baginda bahawa kamu ini gembala ternakan sejak kecil, sama seperti nenek moyang kamu. Dengan demikian raja akan menyuruh kamu tinggal di daerah Gosyen.” Yusuf mengatakan hal itu kerana orang Mesir berasa hina untuk bergaul dengan gembala ternakan.