12 Lot, anak saudara Abram, juga tinggal di Sodom, maka dia pun ditawan oleh musuh berserta segala harta bendanya.
13 Tetapi seorang yang berjaya melepaskan diri melaporkan segala peristiwa itu kepada Abram, orang Ibrani itu. Abram tinggal berhampiran dengan pokok-pokok keramat, tempat ibadat kepunyaan seorang Amori yang bernama Mamre. Mamre dan saudara-saudaranya, Eskol dan Aner, ialah teman sekutu Abram.
14 Apabila Abram mendengar bahawa anak saudaranya sudah ditawan, dia mengumpulkan semua orang yang dapat berperang di perkhemahannya, sebanyak 318 orang lalu mengejar empat orang raja itu sampai ke kota Dan.
15 Di sana Abram membahagikan orangnya menjadi beberapa pasukan, lalu menyerang musuh pada waktu malam dan mengalahkan mereka. Dia mengejar mereka sampai ke Hoba di sebelah utara kota Damsyik.
16 Abram berjaya merebut semula barang-barang yang sudah dirampas. Dia juga membawa kembali Lot bersama dengan segala harta bendanya, kaum wanita, serta orang tawanan yang lain.
17 Setelah mengalahkan Raja Kedorlaomer dan raja-raja sekutunya, Abram kembali. Kemudian raja Sodom pergi menyambut Abram di Lembah Syawe yang disebut juga Lembah Raja.
18 Raja Melkisedek, raja Salem yang juga menjadi imam Allah Yang Maha Tinggi, membawa roti dan wain untuk Abram.