13 Kemudian TUHAN bertanya kepada Abraham, “Mengapakah Sara tertawa dan berkata, ‘Bolehkah aku melahirkan anak sedangkan aku sudah tua?’
14 Adakah sesuatu yang terlalu sukar bagi TUHAN? Sebagaimana yang telah Aku firmankan, sembilan bulan lagi Aku akan kembali ke sini. Pada waktu itu Sara akan mempunyai seorang anak lelaki.”
15 Oleh sebab Sara takut, dia menafikannya. “Saya tidak tertawa,” katanya.Tetapi TUHAN menjawab, “Engkau memang tertawa tadi.”
16 Kemudian ketiga-tiga tetamu itu meninggalkan tempat itu, lalu pergi ke suatu tempat. Di situ mereka dapat memandang kota Sodom. Abraham mengikut mereka untuk menghantar mereka meneruskan perjalanan.
17 TUHAN berfirman dalam hati, “Aku tidak mahu merahsiakan perkara yang akan Aku lakukan daripada Abraham.
18 Keturunannya akan menjadi bangsa yang besar dan berkuasa, dan Aku akan memberkati semua bangsa di bumi kerana dia.
19 Aku sudah memilih dia supaya memerintah anak-anak dan keturunannya untuk taat kepada-Ku dan melakukan hal yang benar dan adil. Jika mereka berbuat demikian, Aku akan memenuhi segala janji-Ku kepada Abraham.”