3 dia berkata, “Hai tuan-tuan, janganlah terus lalu tanpa singgah sebentar; perkenankanlah saya melayani tuan-tuan.
4 Biarlah saya mengambil air untuk membasuh kaki tuan-tuan. Silakan tuan-tuan melepaskan lelah di bawah pokok ini.
5 Saya akan menghidangkan makanan sekadarnya, supaya tuan-tuan mendapat tenaga untuk meneruskan perjalanan. Tuan-tuan sudah menghormati saya dengan sudi singgah di tempat kediaman saya ini.”Mereka menjawab, “Terima kasih kerana kebaikanmu. Kami akan singgah.”
6 Abraham segera masuk ke dalam khemah dan berkata kepada Sara, “Cepat, ambillah tepung yang terbaik dan buatlah roti.”
7 Kemudian Abraham berlari ke tempat kawanan ternakannya dan memilih seekor anak lembu yang muda dan gemuk. Dia memberikan anak lembu itu kepada orang suruhan, yang segera menyiapkannya.
8 Selepas itu Abraham mengambil sedikit krim, sedikit susu, dan daging yang sudah dimasak, lalu menghidangkan semua itu kepada tetamunya. Semasa mereka makan, Abraham sendiri melayani mereka di bawah pokok.
9 Kemudian mereka bertanya kepada Abraham, “Di manakah isterimu Sara?”“Di situ, di dalam khemah,” jawab Abraham.