11 Selepas itu mereka membutakan semua orang yang berada di luar, sehingga orang ramai itu tidak dapat mencari pintu rumah.
12 Kedua-dua tetamu itu berkata kepada Lot, “Jika kamu mempunyai anak lelaki, anak perempuan, menantu atau sanak saudara lain yang tinggal di dalam kota ini, bawalah mereka keluar dari sini,
13 kerana kami akan memusnahkan tempat ini. TUHAN sudah mendengar tuduhan-tuduhan berat terhadap penduduk di sini dan Dia menghantar kami untuk memusnahkan kota Sodom.”
14 Kemudian Lot memberitahu kedua-dua orang bakal menantunya, “Lekaslah keluar dari sini, kerana TUHAN akan memusnahkan tempat ini.” Tetapi mereka menyangka Lot bergurau sahaja.
15 Pada waktu subuh, malaikat-malaikat itu mendesak Lot supaya lekas berangkat. “Cepatlah,” kata mereka. “Bawalah isterimu dan kedua-dua orang anak perempuanmu, dan pergilah dari sini, supaya kamu tidak mati apabila kota ini dimusnahkan.”
16 Lot berlambat-lambat, tetapi TUHAN mengasihani dia; oleh itu kedua-dua tetamunya memegang tangan Lot, isterinya, serta kedua-dua orang anak perempuannya, dan membawa mereka ke luar kota.
17 Selepas itu satu daripada malaikat itu berkata, “Larilah, selamatkanlah diri kamu! Jangan menoleh, dan jangan berhenti di lembah. Larilah ke pergunungan supaya kamu tidak terbunuh!”