10 Pada masa itu Efron sendiri sedang duduk bersama dengan orang Het yang lain, di tempat perjumpaan di pintu gerbang kota. Dengan disaksikan oleh semua orang yang ada di situ, dia menjawab,
11 “Bangsa saya sendiri menjadi saksi bahawa tanah itu serta guanya saya berikan kepada tuan, supaya tuan dapat mengebumikan isteri tuan.”
12 Abraham bersujud di hadapan semua orang Het itu,
13 dan sambil didengar oleh semua orang, dia berkata kepada Efron, “Mohon dengarkan saya. Saya ingin membeli seluruh tanah itu. Terimalah wang pembayarannya supaya saya dapat mengebumikan isteri saya di situ.”
14 Efron menjawab,
15 “Tuan, tanah itu hanya bernilai empat ratus keping wang perak. Apakah itu antara kita berdua? Kebumikanlah isteri tuan di situ.”
16 Abraham bersetuju dengan harga itu. Lalu dia menimbang perak sejumlah yang disebut oleh Efron di hadapan orang Het, iaitu empat ratus keping wang perak, dengan timbangan yang digunakan oleh para saudagar.