17 Demikianlah tanah milik Efron di Makhpela, di bahagian timur Mamre, menjadi milik Abraham. Tanah itu terdiri daripada ladang dan gua serta semua pokok di situ termasuk pokok-pokok yang ada di hujung tanah itu.
18 Semua orang Het yang hadir dalam perjumpaan di pintu gerbang kota mengakui bahawa tanah itu sekarang milik Abraham.
19 Kemudian Abraham mengebumikan isterinya, Sara, di dalam Gua Makhpela, di tanah Kanaan.
20 Maka tanah dan gua di situ, yang dahulu kepunyaan orang Het, sekarang menjadi milik Abraham untuk dijadikan tanah perkuburan.