19 Yakub menjawab, “Saya Esau, anak sulung ayah; saya sudah melakukan suruhan ayah. Duduklah dan makanlah daging binatang buruan yang saya bawa ini supaya ayah dapat memberkati saya.”
20 Ishak berkata, “Bagaimana engkau mendapatkannya dengan begitu cepat, hai anakku?”Jawab Yakub, “TUHAN, Allah yang disembah ayah telah menolong saya.”
21 Ishak berkata kepada Yakub, “Mari dekat sedikit supaya aku dapat meraba engkau. Benarkah engkau ini Esau?”
22 Yakub menghampiri bapanya. Bapanya meraba dia dan berkata, “Suaramu seperti suara Yakub, tetapi lenganmu seperti lengan Esau.”
23 Ishak tidak mengenali Yakub kerana lengannya berbulu seperti lengan Esau. Ishak hampir memberkati Yakub,
24 tetapi dia bertanya lagi, “Benarkah engkau ini Esau?”“Ya,” jawab Yakub.
25 Ishak berkata, “Berilah aku daging itu. Selepas aku makan, aku akan memberkati engkau.” Yakub membawa makanan itu kepada bapanya, dan juga wain untuk diminum.