25 Ishak berkata, “Berilah aku daging itu. Selepas aku makan, aku akan memberkati engkau.” Yakub membawa makanan itu kepada bapanya, dan juga wain untuk diminum.
26 Kemudian bapanya berkata kepadanya, “Marilah lebih dekat lagi kepadaku dan ciumlah aku, nak.”
27 Ketika Yakub datang untuk mencium bapanya, Ishak menghidu pakaiannya, lalu memberkati dia. Ishak berkata, “Bau anakku seharum padang yang sudah diberkati TUHAN.
28 Semoga TUHAN mengurniai engkau embun dari langit dan menjadikan ladang-ladangmu subur. Semoga Dia mengurniai engkau gandum dan wain yang berlimpah-limpah.
29 Semoga bangsa-bangsa menjadi hambamu dan suku-suku takluk kepadamu. Semoga engkau menguasai semua saudara maramu, dan semoga keturunan ibumu sujud di hadapanmu. Terkutuklah semua orang yang mengutuk engkau, dan diberkatilah semua orang yang memberkati engkau.”
30 Selepas Ishak memberkati Yakub, dan sebaik sahaja Yakub pergi, Esau abangnya, pulang dari berburu.
31 Dia juga memasak makanan yang lazat dan membawa makanan itu kepada bapanya. Dia berkata, “Ayah, bangunlah, dan makanlah daging yang saya bawa untuk ayah, supaya ayah dapat memberkati saya.”