4 Maka mereka menyerahkan semua patung dewa asing yang ada pada mereka dan juga anting-anting yang dipakai mereka, kepada Yakub. Semua benda itu ditanam oleh Yakub di bawah pokok besar dekat kota Sikhem.
5 Pada masa Yakub dan keluarganya berangkat, Allah meliputi penduduk kota-kota di sekitar mereka dengan rasa takut, sehingga mereka tidak mengejar Yakub dan keluarganya.
6 Kemudian mereka sampai di tanah Kanaan, di kota Betel yang dahulu bernama Lus.
7 Di situ Yakub membina sebuah mazbah dan menamakan tempat itu Allah Betel, kerana Allah telah menampakkan diri kepadanya di situ ketika dia lari daripada abangnya.
8 Debora, inang pengasuh Ribka, meninggal di tempat itu. Dia dikuburkan di bawah pokok besar di sebelah selatan kota itu. Itulah sebabnya pokok itu dinamakan “Pokok Besar Tangisan”.
9 Selepas Yakub kembali dari Mesopotamia, Allah menampakkan diri lagi kepadanya dan memberkatinya.
10 Allah berfirman kepadanya, “Namamu Yakub, tetapi mulai sekarang engkau akan disebut Israel.” Demikianlah Allah menamakan dia Israel.