25 Ketika mereka sedang makan, tiba-tiba mereka nampak kafilah orang Ismael dari Gilead yang sedang dalam perjalanan ke Mesir. Unta-unta mereka mengangkut rempah-rempah dan damar.
26 Yehuda berkata kepada saudara-saudaranya, “Apakah keuntungannya membunuh adik kita dan merahsiakan pembunuhan itu?
27 Mari kita jual dia kepada orang Ismael itu. Tidak usah kita sakiti dia. Bagaimanapun dia tetap adik kita.” Saudara-saudaranya bersetuju.
28 Apabila beberapa orang pedagang Midian lalu, Yusuf dikeluarkan oleh saudara-saudaranya dari perigi. Kemudian mereka menjual dia kepada orang Ismael itu dengan harga dua puluh keping wang perak. Yusuf dibawa oleh pedagang-pedagang itu ke Mesir.
29 Apabila Ruben kembali ke perigi itu dan tidak menjumpai Yusuf di situ, dia mengoyakkan pakaiannya kerana sedih.
30 Dia balik kepada saudara-saudaranya dan berkata, “Anak itu tiada lagi di situ! Apakah yang harus aku lakukan sekarang?”
31 Kemudian mereka menyembelih seekor kambing dan mencelupkan jubah Yusuf ke dalam darah kambing itu.