14 Tetapi ingatlah akan saya apabila keadaan tuan sudah baik. Tolong sampaikan masalah saya kepada raja supaya saya dibebaskan dari penjara ini.
15 Sebenarnya, dahulu saya diculik dari negeri orang Ibrani. Di sini, di Mesir pun, tidak pernah saya melakukan apa-apa kejahatan sampai harus dimasukkan ke dalam penjara.”
16 Setelah pengurus roti itu tahu bahawa erti mimpi pengurus minuman itu baik, maka dia berkata kepada Yusuf, “Aku juga bermimpi. Dalam mimpi itu aku menjunjung tiga buah bakul roti.
17 Di dalam bakul yang paling atas terdapat bermacam-macam kuih untuk raja, tetapi burung-burung datang memakan kuih-muih itu.”
18 Yusuf menjawab, “Inilah erti mimpi itu. Tiga buah bakul itu bererti tiga hari.
19 Dalam tiga hari ini, raja akan menyuruh orang memenggal kepala tuan lalu menggantungkan mayat tuan pada sebatang tiang, dan burung-burung akan makan daging tuan.”
20 Tiga hari kemudian, pada hari keputeraan raja, raja mengadakan jamuan besar bagi semua pegawainya. Raja memerintahkan supaya pengurus minuman dan pengurus roti dikeluarkan dari penjara, lalu dibawa ke hadapan semua pegawai istana.