20 Selepas itu kamu harus membawa adik kamu yang bongsu kepadaku. Itulah buktinya nanti bahawa kata-kata kamu itu benar, dan aku tidak akan menjatuhkan hukuman mati kepada kamu.”Mereka setuju dengan keputusan gabenor itu.
21 Kemudian mereka bercakap satu sama lain, “Sekarang kita dihukum kerana kesalahan kita terhadap adik kita dahulu; dia meminta tolong tetapi kita tidak mempedulikannya, walaupun kita nampak dia sangat menderita. Itulah sebabnya kita mengalami penderitaan ini sekarang.”
22 Ruben berkata, “Dahulu aku melarang kamu menyakiti anak itu, tetapi kamu tidak mahu mendengar. Sekarang kita menerima balasan kerana kematiannya.”
23 Yusuf memahami bahasa mereka tetapi mereka tidak mengetahui hal itu, kerana mereka berkata-kata dengan Yusuf melalui seorang jurubahasa.
24 Yusuf meninggalkan mereka, lalu menangis. Apabila dia dapat berkata-kata lagi, dia kembali kepada mereka lalu memilih Simeon. Yusuf menyuruh orang mengikat Simeon di hadapan semua saudaranya.
25 Yusuf memerintahkan supaya karung-karung yang dibawa saudara-saudaranya diisi dengan gandum, lalu wang masing-masing dimasukkan ke dalam karung-karung itu. Yusuf juga memerintahkan supaya mereka diberi bekal makanan untuk perjalanan. Perintahnya itu dilaksanakan.
26 Selepas itu saudara-saudara Yusuf memuati keldai mereka dengan gandum yang sudah dibeli, lalu mereka berangkat.