1-2 Kebuluran di Kanaan bertambah buruk. Setelah keluarga Yakub menghabiskan semua gandum yang dibawa dari Mesir, Yakub berkata kepada anak-anak lelakinya, “Pergilah ke sana lagi dan belilah gandum untuk kita.”
3 Yehuda berkata kepadanya, “Dengan tegas gabenor Mesir memberikan amaran kepada kami bahawa kami tidak boleh menghadap dia jika kami tidak membawa adik kami.
4 Jika ayah membenarkan adik kami ikut, kami mahu pergi ke sana dan membeli makanan untuk ayah.
5 Tetapi jika ayah tidak membenarkan Benyamin ikut, kami tidak mahu pergi, kerana gabenor itu sudah berkata bahawa kami tidak boleh menghadap dia jika adik kami tidak ikut.”
6 Yakub berkata, “Mengapa kamu menyusahkan aku dengan memberitahu orang itu bahawa kamu masih mempunyai adik lelaki lain?”
7 Mereka menjawab, “Orang itu tidak berhenti-henti bertanya tentang kami dan keluarga kita. Katanya, ‘Masih hidupkah bapa kamu? Adakah kamu mempunyai adik lelaki lain?’ Kami terpaksa menjawab segala pertanyaannya. Bagaimana kami tahu bahawa dia akan menyuruh kami membawa adik kami?”