20 “Tuan, kami pernah datang ke sini untuk membeli makanan.
21-22 Dalam perjalanan pulang, ketika kami hendak bermalam, kami membuka karung kami lalu nampak semua wang pembayaran gandum kami di atas gandum. Kami tidak tahu siapa yang memasukkan wang itu. Sekarang kami membawanya kembali kepada tuan. Selain itu kami ada membawa wang lebih untuk membeli makanan lagi.”
23 Dia menjawab, “Jangan takut. Jangan khuatir. Allah kamu, yang disembah bapa kamu, sudah memasukkan wang itu ke dalam karung kamu. Aku sudah menerima pembayaran kamu untuk gandum itu.” Kemudian dia membawa Simeon kepada mereka.
24 Lalu dia menghantar mereka ke dalam rumah. Dia memberikan air kepada mereka untuk membasuh kaki, dan juga makanan untuk keldai mereka.
25 Selepas itu mereka menyediakan hadiah untuk diberikan kepada Yusuf apabila dia datang pada waktu tengah hari, kerana mereka sudah diberitahu bahawa mereka akan makan bersama dengan Yusuf.
26 Apabila Yusuf sampai di rumah, mereka memberikan hadiah-hadiah itu kepada Yusuf sambil bersujud.
27 Yusuf bertanya tentang keadaan mereka, lalu berkata, “Apa khabar bapa kamu yang sudah tua itu, yang pernah kamu ceritakan kepadaku? Adakah dia masih hidup dan sihat?”