2 Kemudian Yusuf menangis dengan kuat sehingga orang Mesir mendengarnya. Lalu berita itu dibawa ke istana raja.
3 Yusuf berkata kepada saudara-saudaranya, “Aku ini Yusuf. Adakah bapaku masih hidup?” Tetapi saudara-saudaranya sangat takut sehingga tidak dapat menjawab.
4 Oleh itu Yusuf berkata kepada mereka, “Marilah dekat aku.” Mereka mendekati Yusuf, lalu dia berkata lagi, “Aku Yusuf, saudara kamu yang kamu jual ke Mesir.
5 Jangan takut atau salahkan diri kerana kamu menjual aku. Sebenarnya, Allah sendiri yang menghantar aku ke sini lebih dahulu daripada kamu untuk menyelamatkan banyak orang.
6 Sekarang baru tahun kedua masa kebuluran, dan ada lima tahun lagi orang tidak akan membajak atau menuai.
7 Allah telah menghantar aku ke sini lebih dahulu daripada kamu untuk menyelamatkan kamu dengan cara yang menakjubkan ini, supaya kamu selamat dan keturunan kamu tidak pupus.
8 Oleh itu, sebenarnya bukan kamu yang menyebabkan aku berada di sini, melainkan Allah. Dia sudah menjadikan aku pegawai tertinggi raja Mesir. Aku diberi kuasa mengurus segenap rumah tangganya dan seluruh negeri Mesir.