1 Beberapa lama kemudian, Yusuf diberitahu bahawa bapanya sakit tenat. Oleh itu dia bersama dengan kedua-dua orang anak lelakinya, Manasye dan Efraim, pergi menziarahi Yakub.
2 Apabila Yakub mendengar bahawa Yusuf sudah datang, dia mengumpulkan seluruh tenaganya, lalu duduk di tempat tidur.
3 Yakub berkata kepada Yusuf, “Allah Yang Maha Kuasa telah menampakkan diri kepadaku di Lus, di tanah Kanaan, dan Dia memberkati aku.
4 Dia berfirman kepadaku, ‘Aku akan memberikan banyak anak cucu kepadamu supaya keturunanmu menjadi banyak bangsa. Aku akan memberikan negeri ini kepada keturunanmu sebagai milik mereka selama-lamanya.’ ”
5 Yakub berkata lagi, “Yusuf, kedua-dua orang anakmu, Efraim dan Manasye, yang dilahirkan di Mesir sebelum aku tiba di sini, kuanggap sebagai anakku, seperti Ruben dan Simeon.
6 Jika engkau mendapat anak lelaki lagi, mereka tidak akan kuanggap sebagai anakku melainkan tetap anakmu; mereka akan menerima warisan daripada Efraim dan Manasye.
7 Aku melakukan hal ini kerana ibumu Rahel. Ketika aku dalam perjalanan pulang dari Mesopotamia, ibumu meninggal di tanah Kanaan, tidak jauh dari Efrata, dan aku sangat sedih. Aku mengebumikan dia di sana, di tepi jalan ke Efrata.” (Kini Efrata dikenal sebagai Betlehem.)