1 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap raja. Aku telah menyebabkan dia dan para pegawainya berdegil, agar Aku dapat melakukan mukjizat-mukjizat ini di tengah-tengah mereka,
2 dan supaya kamu dapat memberitahu anak cucu kamu bagaimana Aku membodohkan orang Mesir, ketika Aku melakukan mukjizat-mukjizat. Kamu semua akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”
3 Oleh itu, Musa dan Harun pergi menghadap raja lalu berkata kepadanya, “TUHAN, Allah orang Ibrani berfirman, ‘Berapa lama lagi engkau tidak mahu tunduk kepada-Ku? Benarkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku.
4 Jika engkau masih menolak, maka esok Aku akan mendatangkan belalang ke negerimu.
5 Seluruh permukaan tanah akan diliputi belalang yang sangat banyak. Belalang akan memakan segala tanaman dan juga pokok yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu.
6 Belalang akan memenuhi istanamu dan rumah para pegawaimu, serta rumah segenap rakyatmu. Bencana ini akan lebih dahsyat daripada apa yang pernah dialami oleh nenek moyangmu.’ ” Kemudian Musa berpaling lalu pergi.
7 Para pegawai raja berkata kepada raja, “Berapa lama lagi orang itu harus menyusahkan kita? Biarkanlah orang Israel pergi supaya mereka dapat beribadat kepada TUHAN, Allah mereka. Lihatlah, negeri kita ini sudah hancur!”