1 “Buatlah sebuah mazbah daripada kayu akasia. Mazbah itu harus berbentuk empat persegi, berukuran 2.2 meter panjang, 2.2 meter lebar, dan 1.3 meter tinggi.
2 Buatlah unjuran pada keempat-empat sudutnya. Unjuran itu mesti seiras dengan mazbah dan seluruhnya disaluti gangsa.
3 Buatlah periuk untuk abu berminyak, dan buatlah juga penyodok, mangkuk, garpu, dan perbaraan; kesemua peralatan ini mesti dibuat daripada gangsa.
4 Buatlah juga kekisi daripada gangsa dan pasanglah empat buah gelang gangsa pada keempat-empat sudut.
5 Tinggi kekisi itu harus setengah daripada tinggi mazbah. Kekisi itu harus dililitkan pada bahagian bawah mazbah itu.
6 Buatlah dua batang kayu pengusung daripada kayu akasia yang disaluti gangsa.
7 Masukkan kayu pengusung itu ke dalam gelang di kedua-dua sisi mazbah semasa mengusung mazbah itu.
8 Buatlah mazbah itu daripada papan dan bahagian dalamnya berongga, menurut pelan yang Aku tunjukkan kepadamu di atas gunung ini.”
9 “Buatlah pagar di sekeliling Khemah-Ku. Pagar itu berupa tirai daripada kain linen halus. Di bahagian selatan, tirai itu harus 44 meter panjang,
10 disangga oleh dua puluh batang tiang gangsa dengan dua puluh buah alas gangsa, dan dipasang dengan cangkuk serta batang daripada perak.
11 Buatlah seperti itu juga di bahagian utara.
12 Di bahagian barat, tirainya 22 meter panjang, dengan sepuluh batang tiang dan sepuluh buah alas.
13 Di bahagian timur, di pintu masuk, tirainya juga harus 22 meter panjang.
14-15 Pada tiap-tiap sisi pintu itu, harus dipasang tirai; setiap tirai panjangnya 6.6 meter, dengan tiga batang tiang dan tiga buah alas.
16 Bagi pintu masuk itu, harus dipasang tirai sepanjang 9 meter; tirai itu harus dibuat daripada kain linen halus yang ditenun dengan bulu berwarna biru, ungu, dan merah, serta dihias dengan sulaman. Tirai pintu itu harus disangga oleh empat batang tiang dengan empat buah alas.
17 Semua tiang pagar itu harus dihubungkan satu sama lain dengan batang perak, cangkuk-cangkuknya harus dibuat daripada perak dan alasnya daripada gangsa.
18 Pagar itu harus 44 meter panjang, 22 meter lebar, dan 2.2 meter tinggi. Tirai hendaklah dibuat daripada kain linen halus dan alas daripada gangsa.
19 Semua alat yang digunakan dalam Khemah, serta semua pasak untuk Khemah dan pagarnya mesti dibuat daripada gangsa.”
20 “Suruhlah umat Israel memberi engkau minyak zaitun yang terbaik untuk pelita itu, supaya pelita itu dapat dinyalakan tiap-tiap malam.
21 Harun dan anak-anak lelakinya mesti mengurus pelita itu di dalam Khemah-Ku, di luar tirai yang di hadapan Tabut Perjanjian. Di situ, di hadirat-Ku, pelita itu mesti dinyalakan dari petang hingga pagi. Perintah ini mesti dipatuhi selama-lamanya oleh umat Israel dan keturunan mereka.”