Keluaran 28 BMDC

Pakaian untuk Imam

1 “Panggillah abangmu Harun dan anak-anaknya, Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar. Khususkanlah mereka dari kalangan umat Israel, supaya mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.

2 Buatlah pakaian imam untuk abangmu Harun, supaya terhormat kelihatannya.

3 Panggillah semua orang yang telah Aku kurniakan kemahiran, dan suruhlah mereka membuat pakaian Harun supaya dia dapat ditahbiskan untuk mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.

4 Suruhlah mereka membuat penutup dada, efod, jubah, baju labuh bersulam, serban, dan ikat pinggang. Mereka harus membuat pakaian imam itu untuk abangmu Harun dan anak-anaknya supaya mereka dapat mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.

5 Orang yang membuat semuanya mesti menggunakan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, benang emas, serta kain linen halus.

6 Mereka mesti membuat efod daripada kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, benang emas, serta kain linen halus yang bersulam.

7 Dua tali bahu sebagai pengikat harus dijahitkan pada sisi efod.

8 Satu ikat pinggang yang ditenun halus daripada bahan yang sama harus dijahitkan pada efod supaya menjadi satu bahagian dengan efod.

9 Ambillah dua biji batu sardis dan ukirkan nama dua belas orang anak Yakub pada batu itu,

10 menurut urutan umur mereka; enam nama pada satu batu, dan enam lagi pada batu yang lain.

11 Suruhlah seorang tukang batu permata yang mahir supaya mengukirkan nama anak-anak Yakub pada dua biji batu permata itu. Dia juga harus mengikat batu permata itu dengan emas,

12 lalu memasangnya pada tali bahu efod untuk mewakili dua belas suku Israel. Dengan cara ini Harun akan membawa nama mereka di atas bahunya, supaya Aku, TUHAN, sentiasa ingat akan umat-Ku.

13 Buatlah dua bingkai emas

14 dan dua utas rantai emas tulen yang dipintal seperti tali, lalu pasangkan rantai ini pada bingkai emas itu.”

Penutup Dada

15 “Buatlah sehelai penutup dada untuk Imam Agung; penutup dada itu akan dipakainya apabila hendak mengetahui kehendak Allah. Penutup dada itu harus dibuat daripada bahan-bahan yang digunakan untuk membuat efod, dan juga disulam seperti efod.

16 Penutup dada itu mesti berbentuk empat persegi dan dilipat dua, berukuran 22 sentimeter panjang dan 22 sentimeter lebar.

17 Pasangkan empat baris batu permata pada penutup dada itu. Pada baris pertama, pasangkan batu delima, batu topaz, dan batu garnet;

18 pada baris kedua, pasangkan batu zamrud, batu nilam, dan batu berlian;

19 pada baris ketiga pasangkan batu firus, batu akik, dan batu kecubung;

20 dan pada baris keempat pasangkan batu beril, batu sardis, dan batu jasper. Semua batu permata itu mesti diikat dengan bingkai emas.

21 Pada tiap-tiap batu permata itu mesti diukirkan salah satu nama anak-anak Yakub untuk mewakili dua belas suku Israel.

22 Buatlah rantai daripada emas tulen yang dipintal seperti tali bagi penutup dada itu.

23 Buatlah juga dua gelang emas dan pasangkan pada kedua-dua sudut bahagian atas penutup dada.

24 Ikatkan rantai emas itu pada dua gelang emas.

25 Ikatkan dua hujung lain rantai itu pada kedua-dua bingkai, supaya penutup dada itu dapat dihubungkan dengan bahagian depan tali bahu efod.

26 Kemudian buatlah dua gelang emas dan pasangkan pada sudut bahagian bawah penutup dada itu, di tepi bahagian dalam yang kena efod.

27 Buatlah dua gelang emas lagi dan pasangkan di bahagian bawah sebelah depan kedua-dua tali bahu efod, dekat dengan kelim dan di sebelah atas ikat pinggang yang ditenun halus.

28 Ikatkan gelang penutup dada itu pada gelang efod dengan tali biru, supaya penutup dada itu terletak di atas ikat pinggang dan tidak terlepas.

29 Apabila Harun masuk ke Bilik Suci, dia harus memakai penutup dada yang berukirkan nama-nama suku Israel, supaya Aku, TUHAN sentiasa ingat akan umat-Ku.

30 Letakkan Urim dan Tumim dalam penutup dada itu supaya dapat dibawa oleh Harun apabila dia masuk ke hadirat-Ku yang suci. Pada saat-saat seperti itu dia mesti sentiasa memakai penutup dada itu untuk mengetahui kehendak-Ku bagi umat Israel.”

Pakaian Lain untuk Imam

31 “Jubah yang dipakai di bawah efod harus seluruhnya dibuat daripada kain bulu berwarna biru.

32 Lubang leher jubah itu harus diperkuat dengan pita tenunan supaya tidak mudah koyak.

33-34 Pada sekeliling kelepet sebelah bawah, buatlah hiasan berbentuk buah delima daripada kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, diselang-seli dengan loceng emas.

35 Jubah itu harus dipakai oleh Harun ketika dia bertugas sebagai imam. Apabila dia masuk ke hadirat-Ku di Bilik Suci, atau apabila dia meninggalkan tempat itu, bunyi loceng akan terdengar dan dia tidak akan dibunuh.

36 Buatlah satu perhiasan daripada emas tulen dan ukirkan perkataan, ‘Ditahbiskan untuk TUHAN’ pada perhiasan itu.

37 Ikatkan perhiasan itu pada sebelah depan serban dengan tali biru.

38 Harun harus memakainya pada dahinya. Dengan cara ini Aku, TUHAN akan menerima segala persembahan yang diberikan oleh umat Israel kepada-Ku, walaupun mereka membuat kesalahan ketika mempersembahkan persembahan itu.

39 Baju labuh untuk Harun harus ditenun daripada kain linen halus. Buatlah juga serban daripada kain linen halus, dan ikat pinggang yang bersulam.

40 Buatlah baju labuh, ikat pinggang, dan ikat kepala untuk anak-anak Harun supaya mereka kelihatan terhormat.

41 Kenakanlah pakaian itu pada Harun dan anak-anaknya. Kemudian tahbiskanlah dan khaskanlah mereka dengan menuangkan minyak zaitun pada mereka, supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.

42 Buatlah celana pendek daripada kain linen untuk mereka. Panjang celana itu dari pinggang sampai ke paha, untuk menutupi bahagian tubuh yang tidak wajar dilihat.

43 Harun dan anak-anaknya harus selalu memakai celana itu apabila mereka masuk ke Khemah-Ku, ataupun menghadap mazbah untuk bertugas sebagai imam di Bilik Suci, supaya mereka tidak mati kerana mendedahkan bahagian tubuh mereka yang tidak wajar dilihat. Inilah peraturan tetap untuk Harun dan keturunannya.”