13 Oleh itu Musa mengangkat tongkatnya, dan TUHAN menyebabkan angin timur bertiup ke negeri itu sepanjang hari dan sepanjang malam. Menjelang pagi, angin itu telah membawa belalang.
14 Belalang datang dalam kawanan-kawanan yang besar sehingga meliputi seluruh negeri. Orang belum pernah melihat belalang sebegitu banyak, dan selepas itu pun hal seperti itu tidak terjadi lagi.
15 Belalang meliputi permukaan tanah sampai tanah kelihatan hitam. Belalang memakan segala sesuatu yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu, termasuk semua buah di pokok. Di seluruh Mesir, tidak ada sesuatu pun yang hijau tertinggal pada pokok ataupun tumbuhan.
16 Raja segera memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Beta telah berdosa terhadap TUHAN, Allah kamu dan terhadap kamu.
17 Ampunkanlah dosa beta sekali ini saja, dan berdoalah kepada TUHAN, Allah kamu agar Dia menjauhkan hukuman yang dahsyat ini daripada beta.”
18 Musa meninggalkan raja lalu berdoa kepada TUHAN.
19 Oleh itu TUHAN mengubah arah angin timur sehingga menjadi angin barat yang sangat kencang. Belalang-belalang ditiup oleh angin itu dan dibawa ke Laut Gelagah, maka tiada seekor belalang pun yang tertinggal di seluruh tanah Mesir.