4 Jika engkau masih menolak, maka esok Aku akan mendatangkan belalang ke negerimu.
5 Seluruh permukaan tanah akan diliputi belalang yang sangat banyak. Belalang akan memakan segala tanaman dan juga pokok yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu.
6 Belalang akan memenuhi istanamu dan rumah para pegawaimu, serta rumah segenap rakyatmu. Bencana ini akan lebih dahsyat daripada apa yang pernah dialami oleh nenek moyangmu.’ ” Kemudian Musa berpaling lalu pergi.
7 Para pegawai raja berkata kepada raja, “Berapa lama lagi orang itu harus menyusahkan kita? Biarkanlah orang Israel pergi supaya mereka dapat beribadat kepada TUHAN, Allah mereka. Lihatlah, negeri kita ini sudah hancur!”
8 Oleh itu Musa dan Harun dipanggil semula untuk menghadap raja. Raja bertitah kepada mereka, “Kamu boleh pergi untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu. Tetapi siapakah antara kamu yang akan pergi?”
9 Musa menjawab, “Kami semua akan pergi, termasuk anak-anak serta orang tua. Anak lelaki dan perempuan, semua domba, kambing, dan lembu akan dibawa kerana kami mesti mengadakan suatu perayaan besar untuk menghormati TUHAN.”
10 Raja bertitah kepada mereka, “Beta bersumpah demi TUHAN bahawa beta tidak akan membenarkan kamu membawa kaum wanita dan anak-anak! Jelaslah bahawa kamu merancang pemberontakan.