15 TUHAN berfirman, “Selama tujuh hari kamu tidak boleh makan roti yang beragi. Makanlah roti yang tidak beragi saja. Pada hari pertama kamu mesti membuang segala ragi yang terdapat di dalam rumah kamu. Jika ada seseorang yang makan roti beragi selama tujuh hari itu, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku.
16 Pada hari pertama, dan sekali lagi pada hari ketujuh, kamu mesti berkumpul untuk beribadat. Pada hari-hari itu kamu tidak boleh melakukan pekerjaan apa pun, tetapi kamu boleh menyiapkan makanan.
17 Rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi, kerana pada hari itu Aku membawa suku-suku kamu keluar dari Mesir. Rayakanlah hari itu sebagai perayaan pada setiap tahun untuk selama-lamanya.
18 Kamu mesti makan roti yang tidak beragi, mulai pada malam hari yang keempat belas bulan pertama sehingga malam hari yang kedua puluh satu.
19-20 Selama tujuh hari, ragi tidak boleh disimpan di dalam rumah kamu, kerana sesiapa yang memakan roti yang beragi, baik dia orang asing ataupun orang Israel, dia tidak akan dianggap sebagai umat-Ku lagi.”
21 Musa memanggil semua pemimpin Israel dan berkata kepada mereka, “Setiap orang daripada kamu harus mengambil seekor anak domba atau seekor anak kambing untuk keluarga masing-masing. Kemudian sembelihlah binatang itu supaya keluarga kamu dapat merayakan Paska.
22 Ambillah seikat hisop dan celupkannya ke dalam mangkuk yang berisi darah binatang itu, lalu sapukan darah itu pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu. Tiada seorang pun boleh keluar dari rumah sehingga pagi.