29 Pada tengah malam itu TUHAN membunuh semua anak lelaki sulung di Mesir, mulai daripada putera raja yang menjadi waris takhta hingga kepada anak lelaki sulung orang tawanan di dalam penjara bawah tanah. Semua anak sulung binatang pun dibunuh.
30 Pada malam itu raja dan semua pegawainya, serta semua orang Mesir terjaga. Tangisan yang kuat terdengar di seluruh negeri Mesir, kerana di setiap rumah terdapat kematian anak lelaki.
31 Pada malam itu juga, raja memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Pergilah, kamu dan semua orang Israel! Tinggalkan negeri beta! Pergilah beribadat kepada TUHAN kamu, seperti yang kamu minta.
32 Bawalah domba, kambing dan lembu kamu dan tinggalkan tempat ini. Mohonlah berkat untuk beta juga.”
33 Orang Mesir mendesak orang Israel agar meninggalkan negeri mereka dengan segera. Orang Mesir berkata, “Kami semua akan mati jika kamu tidak meninggalkan tempat ini.”
34 Oleh itu orang Israel mengisi mangkuk mereka dengan adunan roti yang tidak beragi, membungkusnya dengan kain, lalu memikul bungkusan itu.
35 Orang Israel telah melakukan apa yang disuruh oleh Musa. Mereka telah meminta barang kemas yang dibuat daripada perak dan emas, serta pakaian daripada orang Mesir.