8 Pada malamnya, daging binatang itu mesti dipanggang dan dimakan dengan sayur pahit serta roti tidak beragi.
9 Binatang itu mesti dipanggang seluruhnya, lengkap dengan kepala, kaki, dan isi perutnya. Makanlah daging yang sudah dipanggang itu; jangan makan daging yang mentah atau yang direbus.
10 Jangan tinggalkan sedikit pun daripada daging itu sehingga pagi; jika ada sisanya, daging itu mesti dibakar sampai habis.
11 Semasa makan, kamu mesti sudah berpakaian lengkap untuk perjalanan; kamu sudah memakai kasut dan memegang tongkat. Kamu mesti makan cepat-cepat. Itulah Perayaan Paska untuk menghormati Aku, TUHAN.
12 Pada malam itu Aku akan menjelajahi seluruh negeri Mesir, dan membunuh setiap anak lelaki sulung, serta setiap anak jantan sulung binatang. Aku akan menghukum semua dewa di Mesir; Akulah TUHAN.
13 Darah pada tiang pintu rumah akan menjadi tanda bagi rumah tempat tinggal kamu. Apabila Aku nampak darah itu, Aku akan melalui kamu, dan tidak menghukum kamu semasa Aku menghukum orang Mesir.
14 Kamu mesti merayakan hari itu sebagai perayaan bagi TUHAN, untuk mengingatkan kamu tentang apa yang telah Aku lakukan. Rayakanlah hari itu setiap tahun, selama-lamanya.”