11 Mereka berkata kepada Musa, “Tiadakah kubur di Mesir sehingga kamu membawa kami ke padang gurun untuk mati? Lihatlah apa yang terjadi kerana kamu membawa kami keluar dari Mesir!
12 Sebelum kita berangkat, kami telah berkata bahawa perkara ini akan berlaku. Kami telah memberitahu kamu supaya tidak mengganggu kami, dan membiarkan kami terus menjadi abdi orang Mesir. Lebih baik kami menjadi abdi di sana daripada mati di padang gurun ini.”
13 Musa menjawab, “Jangan takut! Tabahlah! Perhatikanlah apa yang akan dilakukan oleh TUHAN untuk menyelamatkan kamu pada hari ini; kamu tidak akan melihat semua orang Mesir itu lagi.
14 TUHAN akan berjuang untuk kamu. Kamu tidak perlu berbuat apa-apa.”
15 TUHAN berfirman kepada Musa, “Mengapa engkau berseru meminta tolong? Suruhlah orang Israel berjalan terus.
16 Angkatlah tongkatmu dan hulurkan ke atas laut. Air laut akan terbelah, lalu orang Israel akan dapat berjalan melintasi laut di atas dasarnya yang kering.
17 Aku akan menyebabkan orang Mesir begitu degil sehingga mereka mengejar orang Israel, bahkan ke dalam laut sekali pun. Maka kemenangan-Ku atas raja Mesir, tenteranya, kereta kudanya, dan para pemandu kereta kudanya akan mendatangkan penghormatan kepada-Ku.