20 Tetapi ada di kalangan mereka yang tidak mengendahkan kata-kata Musa, lalu menyimpan sebahagian daripada makanan itu. Pagi esoknya, makanan itu berulat dan berbau busuk, lalu Musa marah kepada mereka.
21 Setiap pagi mereka mengumpulkan makanan itu, sebanyak yang diperlukan. Apabila matahari panas terik, makanan yang tertinggal di tanah mencair.
22 Pada hari keenam mereka mengumpulkan makanan dua kali ganda banyaknya, sebanyak empat liter bagi setiap orang. Semua pemimpin umat itu datang dan memberitahukan hal itu kepada Musa.
23 Musa berkata kepada mereka, “TUHAN memerintahkan bahawa esok hari rehat, hari suci yang ditahbiskan bagi-Nya. Pada hari ini bakarlah apa yang hendak kamu bakar, dan rebuslah apa yang hendak kamu rebus. Yang selebihnya, hendaklah diketepikan dan disimpan untuk esok.”
24 Sebagaimana yang telah disuruh oleh Musa, mereka menyimpan lebihan makanan itu sehingga hari berikutnya; makanan itu tidak menjadi basi dan tidak berulat.
25 Musa berkata, “Makanlah makanan ini pada hari ini, kerana hari ini hari Sabat, hari rehat yang telah ditahbiskan bagi TUHAN. Kamu tidak akan mendapat sebarang makanan di luar perkhemahan.
26 Kamu mesti mengumpulkan makanan selama enam hari, tetapi pada hari ketujuh, hari rehat itu, tidak ada makanan untuk dipungut.”