25 Musa berkata, “Makanlah makanan ini pada hari ini, kerana hari ini hari Sabat, hari rehat yang telah ditahbiskan bagi TUHAN. Kamu tidak akan mendapat sebarang makanan di luar perkhemahan.
26 Kamu mesti mengumpulkan makanan selama enam hari, tetapi pada hari ketujuh, hari rehat itu, tidak ada makanan untuk dipungut.”
27 Pada hari ketujuh beberapa orang antara umat itu keluar untuk mengumpulkan makanan, tetapi tidak mendapati apa-apa.
28 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Berapa lama lagi kamu tidak mahu taat kepada perintah-Ku?
29 Ingatlah bahawa Aku, TUHAN telah memberikan hari rehat kepada kamu. Itulah sebabnya, pada hari keenam Aku memberi kamu makanan yang cukup untuk dua hari. Pada hari ketujuh setiap orang mesti tinggal di tempat masing-masing, dan tidak boleh meninggalkan rumahnya.”
30 Oleh itu mereka tidak bekerja pada hari ketujuh.
31 Umat Israel menamakan makanan itu manna. Rupanya seperti biji-biji kecil berwarna putih dan rasanya seperti biskut yang dibuat dengan madu.