18 Seluruh Gunung Sinai diliputi asap kerana TUHAN telah turun ke atasnya di dalam api. Asap itu naik berkepul-kepul seperti asap relau, dan seluruh gunung itu bergoncang dengan kuat.
19 Bunyi trompet semakin kuat. Musa berkata-kata dan Allah menjawabnya dengan guruh.
20 TUHAN turun di atas puncak Gunung Sinai, lalu memanggil Musa ke atas gunung itu. Musa mendaki gunung,
21 lalu TUHAN berfirman kepadanya, “Turunlah dan ingatkan umat supaya tidak melintasi sempadan itu untuk melihat Aku. Jika mereka melintasinya, banyak orang akan mati.
22 Imam-imam sekalipun yang datang menghampiri Aku mesti menyucikan diri. Jika tidak, Aku akan menghukum mereka.”
23 Musa berkata kepada TUHAN, “Umat tidak dapat naik ke sini, kerana Engkau telah menyuruh kami menganggap gunung ini suci dan membuat sempadan di sekelilingnya.”
24 TUHAN menjawab, “Turunlah, lalu baliklah ke sini bersama-sama Harun. Tetapi para imam dan umat yang lain tidak boleh melintasi sempadan itu untuk datang kepada-Ku. Jika mereka melintasinya, Aku akan menghukum mereka.”