3 Tetapi dia tidak dapat menyembunyikan bayinya lebih lama lagi. Oleh itu dia mengambil sebuah bakul yang dibuat daripada gelagah, lalu dia memakal bakul itu dengan gala-gala dan minyak tar supaya tidak dapat dimasuki air. Dia meletakkan bayinya di dalam bakul itu, lalu menaruhnya di tengah-tengah rumpun gelagah di pinggir sungai.
4 Kakak bayi itu berdiri tidak berapa jauh dari situ untuk melihat apa yang akan berlaku kepada bayi itu.
5 Pada masa itu puteri raja turun ke sungai untuk bersiram, sementara dayang-dayangnya berjalan-jalan di pinggir sungai. Tiba-tiba puteri raja ternampak bakul di tengah-tengah rumpun gelagah. Puteri raja menyuruh seorang hamba perempuan untuk mengambil bakul itu.
6 Puteri raja membuka bakul itu lalu nampak seorang bayi lelaki sedang menangis. Puteri raja berasa kasihan terhadap bayi itu dan berkata, “Inilah seorang daripada bayi Ibrani.”
7 Kemudian kakak bayi itu bertanya kepada puteri itu, “Tuan puteri, sudikah tuan puteri sekiranya hamba pergi mendapatkan seorang perempuan Ibrani untuk menyusui bayi ini?”
8 Puteri raja menjawab, “Baik, pergilah.” Gadis itu pun pergi dan memanggil ibu bayi itu sendiri.
9 Puteri raja berkata kepadanya, “Ambillah bayi ini dan susuilah dia untukku; aku akan mengupah kamu.” Kemudian perempuan itu mengambil bayi itu dan menyusui dia.