6 Puteri raja membuka bakul itu lalu nampak seorang bayi lelaki sedang menangis. Puteri raja berasa kasihan terhadap bayi itu dan berkata, “Inilah seorang daripada bayi Ibrani.”
7 Kemudian kakak bayi itu bertanya kepada puteri itu, “Tuan puteri, sudikah tuan puteri sekiranya hamba pergi mendapatkan seorang perempuan Ibrani untuk menyusui bayi ini?”
8 Puteri raja menjawab, “Baik, pergilah.” Gadis itu pun pergi dan memanggil ibu bayi itu sendiri.
9 Puteri raja berkata kepadanya, “Ambillah bayi ini dan susuilah dia untukku; aku akan mengupah kamu.” Kemudian perempuan itu mengambil bayi itu dan menyusui dia.
10 Apabila bayi itu besar, perempuan itu membawanya kepada puteri raja, lalu puteri raja menjadikan dia anak angkatnya. Puteri raja berkata, “Aku menamakan dia Musa, kerana aku telah menarik dia keluar dari air.”
11 Apabila Musa sudah dewasa, dia keluar untuk melawat orang Ibrani, orang sebangsanya. Dia melihat bagaimana mereka dipaksa melakukan kerja yang berat. Musa juga nampak seorang Mesir memukul seorang Ibrani, orang bangsa Musa sendiri.
12 Musa melihat di sekeliling, dan apabila dia nampak bahawa tiada sesiapa pun yang mengawasi dia, dia membunuh orang Mesir itu lalu menyembunyikan mayatnya di dalam pasir.