1 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Berikanlah hukum-hukum ini kepada umat Israel:
2 Jika kamu membeli seorang abdi bangsa Ibrani, dia harus bekerja untuk kamu selama enam tahun. Pada tahun ketujuh dia mesti dibebaskan tanpa membayar apa-apa pun kepada kamu.
3 Jika dia masih bujang ketika dia menjadi abdi kamu, maka isterinya tidak boleh ikut apabila dia dibebaskan. Tetapi jika dia sudah berkahwin ketika dia menjadi abdi kamu, dia boleh pergi bersama dengan isterinya.
4 Jika tuannya mengahwinkan dia dengan seorang perempuan, lalu isterinya melahirkan beberapa orang anak lelaki atau perempuan, isteri dan anak-anaknya itu milik tuannya, dan tidak boleh ikut apabila abdi itu dibebaskan.
5 Tetapi jika abdi itu mengaku mengasihi tuannya, isterinya serta anak-anaknya, dan tidak mahu dibebaskan,
6 tuannya harus membawa dia ke tempat ibadat. Di situ abdi itu disuruh berdiri dan bersandar pada pintu atau tiang pintu, lalu tuannya harus menindik telinga abdi itu. Dengan demikian abdi itu akan menjadi abdi tuannya seumur hidup.