1 Pada masa itu Musa menggembala kawanan domba dan kambing Yitro mentuanya, imam di negeri Midian. Ketika Musa sedang menggiring ternakan itu ke seberang padang gurun, dia tiba di Gunung Sinai, gunung yang suci.
2 Di sana malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Musa dalam api yang menyala di tengah semak. Musa nampak semak itu menyala, tetapi tidak terbakar.
3 “Aneh!” fikirnya. “Mengapa semak itu tidak terbakar? Baiklah aku melihat dari dekat.”
4 Apabila TUHAN nampak Musa menghampiri-Nya, TUHAN memanggil dia dari tengah semak itu, “Musa, Musa!”Musa menjawab, “Ya, aku di sini.”
5 Allah berfirman, “Jangan datang dekat-dekat. Tanggalkan kasutmu kerana engkau sedang berdiri di tanah yang suci.
6 Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.” Oleh itu Musa menutup mukanya kerana dia takut memandang Allah.
7 Kemudian TUHAN berfirman, “Aku telah melihat betapa kejamnya umat-Ku dianiaya di Mesir; Aku telah mendengar seruan mereka mohon dibebaskan daripada pengerah-pengerah abdi. Sesungguhnya, Aku tahu akan segala penderitaan mereka.