2 Di sana malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Musa dalam api yang menyala di tengah semak. Musa nampak semak itu menyala, tetapi tidak terbakar.
3 “Aneh!” fikirnya. “Mengapa semak itu tidak terbakar? Baiklah aku melihat dari dekat.”
4 Apabila TUHAN nampak Musa menghampiri-Nya, TUHAN memanggil dia dari tengah semak itu, “Musa, Musa!”Musa menjawab, “Ya, aku di sini.”
5 Allah berfirman, “Jangan datang dekat-dekat. Tanggalkan kasutmu kerana engkau sedang berdiri di tanah yang suci.
6 Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.” Oleh itu Musa menutup mukanya kerana dia takut memandang Allah.
7 Kemudian TUHAN berfirman, “Aku telah melihat betapa kejamnya umat-Ku dianiaya di Mesir; Aku telah mendengar seruan mereka mohon dibebaskan daripada pengerah-pengerah abdi. Sesungguhnya, Aku tahu akan segala penderitaan mereka.
8 Oleh itu Aku turun untuk membebaskan mereka daripada orang Mesir, dan membawa mereka keluar dari negeri itu ke suatu negeri yang luas, kaya, dan subur. Pada masa ini, negeri itu didiami oleh orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi.