30 Tuanglah minyak upacara pada Harun dan anak-anaknya supaya mereka ditahbiskan menjadi imam untuk mengabdikan diri kepada-Ku.
31 Beritahulah umat Israel bahawa minyak upacara yang suci itu khas untuk Aku selama-lamanya.
32 Minyak upacara itu tidak boleh dituang pada orang biasa, dan campuran yang sama tidak boleh digunakan untuk membuat minyak lain. Minyak upacara itu suci dan mesti dianggap suci.
33 Sesiapa yang membuat minyak seperti minyak upacara, atau yang menggunakan minyak itu bagi orang yang bukan imam, tidak lagi dianggap anggota umat-Ku.”
34 TUHAN berfirman kepada Musa, “Ambillah beberapa jenis rempah harum yang sama banyaknya: getah damar, kulit lokan, getah raksamala, dan juga kemenyan tulen.
35 Dengan bahan-bahan itu buatlah kemenyan seperti membuat minyak wangi. Tambahlah garam untuk menjadikannya tulen dan suci.
36 Tumbukkan sebahagian daripada bahan-bahan itu menjadi serbuk. Bawalah serbuk itu ke dalam Khemah-Ku, lalu hamburkan serbuk itu di hadapan Tabut Perjanjian. Kemenyan itu harus dianggap sebagai benda yang sangat suci.