8 Dia mesti melakukan hal yang sama apabila dia memasang pelita itu pada waktu petang. Persembahan kemenyan ini mesti dilakukan terus-menerus sepanjang masa.
9 Di atas mazbah ini, jangan persembahkan sebarang kemenyan yang dilarang, atau korban berupa binatang, atau korban berupa bijirin; jangan curahkan sebarang korban berupa wain di atasnya.
10 Setahun sekali Harun mesti melakukan upacara penyucian mazbah dengan menyapukan darah binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, pada keempat-empat unjuran mazbah itu. Hal ini mesti dilakukan tiap-tiap tahun selama-lamanya. Mazbah ini mesti suci seluruhnya dan ditahbiskan kepada-Ku, TUHAN.”
11 TUHAN berfirman kepada Musa,
12 “Apabila engkau membanci umat Israel, setiap orang lelaki mesti membayar wang tebusan untuk dirinya kepada-Ku, supaya dia tidak ditimpa bencana ketika pembancian itu dijalankan.
13 Setiap orang yang dihitung dalam pembancian itu mesti membayar jumlah wang yang ditentukan, menurut harga yang ditetapkan di Khemah-Ku. Setiap orang mesti membayar jumlah itu sebagai persembahan kepada-Ku.
14 Setiap orang yang dihitung dalam pembancian itu, iaitu setiap orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas mesti membayar jumlah itu.