1 Bezaleel, Oholiab, dan semua tukang yang telah dikurniakan kemahiran dan pengertian oleh TUHAN, iaitu mereka yang tahu cara membuat segala yang diperlukan untuk membina Khemah TUHAN, mesti melakukan segala-galanya sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN.”
2 Musa memanggil Bezaleel, Oholiab, dan semua tukang lain yang telah dikurniai kebolehan oleh TUHAN, iaitu mereka yang rela menolong; lalu Musa menyuruh mereka memulakan pekerjaan itu.
3 Musa memberi mereka segala sumbangan yang dibawa oleh orang Israel untuk pembinaan Khemah TUHAN. Tetapi orang Israel masih lagi membawa sumbangan kepada Musa tiap-tiap pagi.
4 Oleh itu para tukang yang sedang melakukan pekerjaan itu
5 memberikan laporan kepada Musa, “Umat telah memberikan lebih daripada apa yang diperlukan untuk pekerjaan yang diperintahkan TUHAN.”
6 Kemudian Musa memberitahu segenap umat supaya tidak membawa sumbangan lagi untuk Khemah TUHAN; umat pun tidak memberikan apa-apa lagi.
7 Bahan-bahan yang sudah diberikan lebih daripada cukup untuk menyelesaikan segala pekerjaan itu.