20 Semua pasak untuk Khemah dan pagarnya dibuat daripada gangsa.
21 Inilah senarai logam yang digunakan dalam Khemah TUHAN, tempat dua buah batu tulis yang bertuliskan Sepuluh Hukum disimpan. Senarai itu dibuat atas perintah Musa dan disusun oleh orang Lewi, yang bertugas di bawah arahan Itamar, anak Imam Harun.
22 Bezaleel anak Uri, cucu Hur daripada suku Yehuda, membuat segala yang telah diperintahkan TUHAN.
23 Penolongnya, Oholiab anak Ahisamakh daripada suku Dan ialah seorang pengukir, perekabentuk, dan penenun kain linen halus dan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah.
24 Segala emas yang telah ditahbiskan untuk TUHAN bagi Khemah TUHAN itu beratnya 1,000 kilogram, ditimbang menurut timbangan yang ditetapkan di Khemah TUHAN.
25 Perak yang didapati daripada pembancian orang Israel, beratnya 3,430 kilogram, ditimbang menurut timbangan yang ditetapkan di Khemah TUHAN.
26 Jumlah ini sama dengan jumlah yang dibayar oleh segenap rakyat yang terdaftar dalam pembancian itu; tiap-tiap orang membayar jumlah yang ditentukan menurut timbangan yang ditetapkan di Rumah TUHAN. Semuanya 603,550 orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas, yang terdaftar dalam pembancian itu.