2 Mereka membuat efod daripada kain linen halus, kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, dan benang emas.
3 Mereka menempa kepingan emas dan menjadikannya jaluran-jaluran tipis untuk dijalin bersama kain linen halus dan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, yang dihias dengan sulaman.
4 Selepas itu mereka membuat dua tali bahu pengikat efod, yang dijahitkan pada sisinya.
5 Ikat pinggang yang ditenun halus daripada bahan yang sama, dijahitkan pada efod itu sehingga menjadi satu bahagian, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
6 Mereka mencanai batu sardis lalu mengikatnya dengan bingkai emas. Dengan sangat mahir, mereka mengukir nama dua belas orang anak Yakub pada batu-batu permata itu.
7 Kemudian batu-batu permata itu dipasang pada tali bahu efod untuk mewakili dua belas suku Israel, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
8 Mereka membuat penutup dada dengan bahan-bahan itu juga, sama seperti yang digunakan untuk efod, dan sulamannya pun sama.