14 Suruhlah anak-anak Harun maju mendekat, lalu kenakanlah baju labuh pada mereka.
15 Kemudian sapulah mereka dengan minyak, sebagaimana engkau menyapukan bapa mereka dengan minyak, agar mereka mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam. Upacara menyapukan minyak itu akan menjadikan suku mereka imam sehingga turun-temurun.”
16 Musa melakukan segala-galanya sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN kepadanya.
17 Oleh itu pada hari pertama bulan pertama, tahun kedua selepas mereka meninggalkan Mesir, Khemah TUHAN dipasang.
18 Musa meletakkan alas-alasnya, mendirikan rangka-rangkanya, menyambung kayu-kayu lintangnya, dan menegakkan tiang-tiangnya.
19 Dia membentangkan penutup Khemah TUHAN, lalu menutupinya dengan penutup lain, sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN.
20 Kemudian Musa mengambil dua buah batu tulis itu dan meletakkannya di dalam Tabut Perjanjian. Dia memasukkan kayu pengusung Tabut ke dalam gelang-gelangnya, lalu menutup Tabut dengan penutupnya.