13 Para pengerah abdi terus mendesak agar setiap hari orang Israel membuat batu bata sebanyak yang dibuat pada masa mereka diberikan jerami dahulu.
14 Pengerah-pengerah abdi memukul mandur-mandur berbangsa Israel yang telah ditugaskan untuk mengawasi pekerjaan itu. Mereka bertanya, “Mengapa kamu tidak membuat batu bata sebanyak dahulu?”
15 Kemudian mandur-mandur itu pergi menghadap raja dan mengadu, “Mengapakah tuanku melakukan hal ini kepada hamba sekalian?
16 Hamba semua tidak diberikan jerami, namun hamba sekalian dipaksa membuat batu bata. Sekarang, hamba semua dipukul pula, padahal pegawai-pegawai tuanku itulah yang bersalah.”
17 Raja menjawab, “Kamu memang malas dan tidak mahu bekerja. Itulah sebabnya kamu minta dibenarkan pergi untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN.
18 Sekarang pergilah bekerja lagi. Jerami tidak akan diberikan kepada kamu, tetapi kamu mesti membuat batu bata sebanyak dahulu.”
19 Mandur-mandur itu sedar bahawa mereka dalam kesusahan apabila diberitahu bahawa setiap hari mereka mesti tetap membuat batu bata sebanyak dahulu.