32 Tiap-tiap tahun kami masing-masing akan memberikan lima gram perak bagi biaya Rumah TUHAN.
33 Kami akan menyediakan keperluan-keperluan berikut untuk kegunaan ibadat di Rumah TUHAN: roti sajian, korban harian, iaitu korban untuk mengucap syukur dan binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan juga persembahan suci pada hari Sabat, Perayaan Bulan Baru, serta perayaan-perayaan lain, persembahan-persembahan suci yang lain, korban-korban untuk mengampunkan dosa Israel, dan apa sahaja yang diperlukan bagi Rumah TUHAN.
34 Tiap-tiap tahun kami, rakyat Israel, para imam dan orang Lewi, akan membuang undi untuk menentukan puak mana yang wajib menyediakan kayu api untuk membakar korban yang dipersembahkan kepada TUHAN, Allah kami, menurut peraturan Taurat.
35 Tiap-tiap tahun kami akan membawa biji-bijian yang mula-mula dituai dan buah-buahan yang mula-mula masak pada pokok, ke Rumah TUHAN.
36 Kami akan membawa anak lelaki kami yang sulung kepada imam di Rumah TUHAN. Di situ anak itu akan diserahkan kepada Allah menurut peraturan Taurat. Kami juga akan menyerahkan anak sulung lembu, anak sulung kambing, atau anak sulung domba.
37 Kami akan membawa adunan yang dibuat daripada biji-bijian yang mula-mula dituai pada tiap-tiap tahun, dan juga persembahan lain berupa wain, minyak zaitun, serta segala jenis buah-buahan. Semua itu akan kami berikan kepada imam-imam di Rumah TUHAN.Kami akan memberikan persepuluhan kami kepada orang Lewi yang memungut persembahan persepuluhan di tempat-tempat pertanian, iaitu persepuluhan daripada hasil tanaman yang tumbuh di ladang kami.
38 Seorang imam keturunan Harun harus bersama-sama orang Lewi ketika persembahan persepuluhan itu dikumpulkan. Orang Lewi harus menyimpan sepersepuluh daripada semua persembahan persepuluhan itu di dalam stor-stor bekalan di Rumah TUHAN.