1 Pada suatu hari, empat bulan kemudian, iaitu pada bulan Nisan, ketika Raja Artahsasta sedang makan, aku menghidangkan wain kepadanya. Sebelum itu, raja belum pernah nampak aku bersedih.
2 Oleh itu raja bertanya, “Mengapa engkau kelihatan sangat sedih? Engkau tidak sakit; tentu ada perkara yang menyusahkan hatimu.”Aku terperanjat,
3 lalu menjawab, “Daulat tuanku! Mana mungkin hamba tidak bersedih, apabila kota tempat nenek moyang hamba dikuburkan sedang dalam keadaan reruntuhan, dan pintu-pintu gerbangnya musnah dimakan api?”
4 Raja bertanya, “Kalau begitu, apakah keinginanmu?”Aku berdoa dalam hati kepada Allah penguasa di syurga,
5 lalu aku berkata kepada raja, “Jika tuanku berkenan, dan tuanku sudi mengabulkan permohonan hamba, benarkanlah hamba pergi ke negeri Yehuda, kota tempat nenek moyang hamba dikuburkan, supaya hamba dapat membina semula kota itu.”
6 Raja, yang duduk bersama dengan permaisuri di sisinya, mengabulkan permohonanku. Raja bertanya berapa lama aku akan tinggal di sana, dan bila aku akan kembali. Aku pun memberitahu raja masanya aku akan kembali.
7 Selepas itu aku memohon supaya raja memberi aku beberapa pucuk surat bagi gabenor-gabenor di Wilayah Efrat Barat, supaya mereka membenarkan aku pergi ke Yehuda.
8 Selain itu, aku juga meminta surat bagi Asaf, pengawas hutan diraja, supaya dia memberi aku kayu balak bagi pintu gerbang kubu yang menjadi pertahanan Rumah TUHAN, dan bagi tembok kota, serta rumah yang akan kudiami. Raja mengabulkan semua permohonanku itu kerana Allah menyertai aku.
9 Raja mengutus beberapa orang pegawai tentera dan sepasukan askar berkuda untuk mengiringi aku dalam perjalananku ke Efrat Barat. Apabila aku tiba di sana, aku menyerahkan surat-surat raja itu kepada para gabenor.
10 Tetapi Sanbalat, orang dari kota Bet-Horon, dan Tobia, pegawai dari wilayah Amon, mendengar bahawa ada orang yang datang untuk menolong umat Israel. Oleh itu mereka sangat marah.
11 Aku meneruskan perjalanan ke Yerusalem. Selama tiga hari,
12 aku tidak memberitahu sesiapa pun akan ilham Allah kepadaku tentang apa yang akan aku lakukan bagi kota Yerusalem. Kemudian, pada waktu tengah malam aku bangun dan keluar bersama-sama beberapa orang teman. Satu-satunya binatang yang aku bawa adalah keldai yang aku tunggangi.
13 Hari masih gelap ketika aku keluar dari kota melalui Pintu Gerbang Lembah di sebelah barat, lalu aku menuju ke arah selatan, melalui Mata Air Naga, ke Pintu Gerbang Sampah. Selama perjalanan itu, aku memeriksa tembok kota yang sudah roboh dan pintu-pintu gerbangnya yang telah musnah dimakan api.
14 Kemudian dari sebelah timur kota itu aku menuju ke utara, ke Pintu Gerbang Mata Air dan ke Kolam Raja. Di situ tidak ada tempat untuk berjalan bagi keldai yang aku tunggangi kerana reruntuhan terlalu banyak.
15 Oleh itu aku turun ke Lembah Kidron dan meneruskan perjalanan, sambil memeriksa tembok kota. Setelah itu aku kembali ke kota mengikut jalan yang sama, yang melalui Pintu Gerbang Lembah.
16 Tidak ada seorang pun pegawai tempatan tahu ke mana aku telah pergi dan apa yang aku lakukan. Setakat itu aku belum memberitahu sesiapa pun di kalangan sesama orang Yahudi, baik para imam, pemimpin, pegawai, atau sesiapa sahaja yang akan ikut membina semula kota Yerusalem.
17 Tetapi kemudian aku berkata kepada mereka, “Lihatlah keadaan kita yang sengsara ini! Kota Yerusalem tinggal reruntuhan dan pintu-pintu gerbangnya musnah dimakan api. Marilah kita bina semula tembok kota supaya kita tidak dihina lagi.”
18 Kemudian aku menceritakan bagaimana Allah menyertai dan menolong aku, dan apa yang sudah dikatakan oleh raja kepadaku.Mereka menjawab, “Marilah kita mula membinanya!” Kemudian mereka bersiap untuk memulakan pekerjaan itu.
19 Apabila Sanbalat, Tobia, dan seorang Arab yang bernama Gesyem mengetahui cadangan kami itu, mereka mentertawakan kami dan berkata, “Apa yang hendak kamu lakukan? Adakah kamu hendak memberontak terhadap raja?”
20 Aku menjawab, “Allah penguasa di syurga akan memberi kami kejayaan. Kami ini hamba-hamba-Nya, dan kami akan memulakan pembinaan. Tetapi kamu tidak mempunyai hak atau milik apa-apa pun di Yerusalem. Bahkan apabila orang bercakap tentang Yerusalem, nama kamu tidak akan disebut-sebut.”